
SHAH ALAM, 17 Februari – Semua agensi dan jabatan di Selangor diarah sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan risiko bencana, khususnya di kawasan persisir pantai.
- Semua agensi dan jabatan Selangor diarahkan sentiasa bersiap sedia hadapi risiko bencana, terutama di pesisir pantai.
- Peringatan awal dikeluarkan untuk tingkatkan kesiapsiagaan dan ambil langkah keselamatan terhadap rakyat.
- Siapsiaga termasuk pemeriksaan ban dan kerja susulan bagi elak kebocoran atau kerosakan ban.
- Orang ramai di kawasan rendah dan pantai dinasihatkan sentiasa peka dan bersedia terhadap perubahan paras air laut.
Arahan itu dikeluarkan susulan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka melanda negeri itu bermula esok sehingga 22 Februari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peringatan awal telah diberikan kepada semua jabatan terlibat supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
“Kita telah memberikan beberapa peringatan dan setiap jabatan perlu bersiap sedia untuk meneliti setiap persoalan. Kita juga menjalankan siasatan terhadap ban-ban bagi mengelakkan kejadian ban yang bocor atau pecah, kecuali di beberapa kawasan yang masih belum siap sepenuhnya.
“Langkah susulan dan peringatan akan terus dilaksanakan dan kita berharap fenomena air pasang besar itu tidak memberikan dampak terhadap kadar hujan dan tidak diikuti dengan hujan lebat yang berpotensi mencetuskan kejadian banjir seperti yang pernah berlaku sebelum ini”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Ng Swee Lim di Shah Alam.
Terdahulu, Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang memaklumkan paras air laut tertinggi dijangka mencecah sehingga 5.4 meter pada 20 dan 21 Februari di Stesen Pelabuhan Klang.
Sepanjang tempoh tersebut, bacaan paras air laut dijangka berada antara 4.6 hingga 5.4 meter, manakala ramalan cuaca menunjukkan tiada hujan pada waktu pagi, petang dan malam.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai dinasihatkan supaya sentiasa bersedia serta peka terhadap keadaan persekitaran.