Aidiladha: Bekalan ternakan korban mencukupi

Jumlah keseluruhan bekalan melebihi anggaran keperluan/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Mei – Bekalan ternakan bagi sambutan Aidiladha pada tahun ini mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah bekalan lembu dan kerbau 51,972 ekor melebihi anggaran keperluan institusi 40,420 ekor.
  • Jumlah kambing dan bebiri 30,047 ekor berbanding unjuran permintaan 22,424 ekor.
  • 27 rumah sembelih DVS sedia beroperasi, dan 43 lesen rumah sembelih swasta dikeluarkan.
  • Penganjur diwajibkan mohon permit penyembelihan luar; orang ramai disaran rujuk Garis Panduan DVS.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lepas, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan adalah sebanyak 35,127 ekor, manakala bekalan diimport 16,845 ekor.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor, sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420 ekor,” menurut kenyataan itu.

Bagi bekalan kambing dan bebiri, stok tempatan direkodkan sebanyak 25,815 ekor, manakala bekalan import 4,232 ekor, menjadikan jumlah keseluruhan 30,047 ekor berbanding unjuran permintaan semasa 22,424 ekor.

Melalui unjuran data itu, KPKM memberi jaminan jumlah bekalan ternakan dalam negara mencukupi bagi menampung permintaan penyembelihan untuk tujuan korban pada tahun ini.

Dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung sedia beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

“Selain itu, DVS juga mengeluarkan lesen kepada 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung sehingga 16 Mac bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Penganjur yang ingin menjalankan aktiviti penyembelihan korban di luar rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam diwajibkan mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar berserta dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.

Orang ramai turut disaran sentiasa merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS sebagai rujukan asas bagi memastikan seluruh proses pelaksanaan ibadah korban lancar dan mematuhi standard ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.