fb fb fb fb fb

Agrobazaar Rakyat, 300 ayam segar dijual setiap hari

Foto Agrobazaar Rakyat

TITI TINGGI, 16 Mac- Agrobazaar Rakyat Borong Wann di Felcra Lubuk Sireh, Perlis terus melaksanakan Kempen Jualan Ayam Segar Murah setiap hari, bermula 25 November lalu sehingga kini.

Menurut Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Mohd Shafizan Wan Nan, pendekatan menjual sambil beramal berkenaan membolehkan masyarakat setempat memperoleh ayam segar berharga di bawah RM11.00 seekor setiap hari.

Katanya, 300 ekor ayam segar ditawarkan setiap hari.

"Sejak program terbabit dilaksanakan, sebanyak 33,000 ekor ayam telah terjual.

"Sebagai salah satu daripada 25 outlet peruncitan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, inisiatif ini dilihat dapat membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

"Kempen ini akan dilaksanakan setiap hari bagi membolehkan lebih ramai penduduk di Felcra Lubuk Sireh dan kawasan sekitarnya mendapatkan bekalan ayam segar pada harga murah," kata Wan Mohd Shafizan kepada pemberita di sini.

Menurut Wan Mohd Shafizan, pihaknya turut melaksanakan Program Jualan Agro Madani serta jualan beras putih tempatan.

Sebanyak 500 pek beras 10 kilogram ditawarkan setiap minggu dengan harga RM26.00.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM