Agong, Permaisuri berangkat ke Rumah Terbuka Istana Johor

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Istana Johor, di Istana Besar, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hadir bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Che Puan Khaleeda dan putera-puteri.
  • Majlis dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum dan pengunjung luar negara, dengan juadah tradisional serta moden di istana.
  • Selepas santapan, Raja Zarith Sofiah berkenan bersalaman dengan pengunjung, disertai Tunku Mahkota Ismail dan Che Puan Khaleeda.
  • Pengunjung gembira termasuk pertama kali S. Nalini, pengunjung tetap Naim Alam, dan pelajar Nigeria Adamu Chiroma puji makanan serta keramahan.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ditemani Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che Puan Mahkota Khaleeda Johor serta putera-puteri baginda.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum serta pengunjung dari luar negara bagi merasai pengalaman beraya di istana yang menyediakan pelbagai juadah tradisional dan moden.

Selepas selesai majlis santapan, Raja Zarith Sofiah berkenan bersalaman dengan pengunjung yang hadir, disertai Tunku Mahkota Ismail dan Che Puan Mahkota Khaleeda.

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Pengunjung yang ditemui pada majlis berkenaan menzahirkan rasa teruja dan gembira termasuk S. Nalini yang pertama kali menjejakkan kaki di Istana Besar.

“Saya tidak pernah datang ke sini (istana). Saya sangat gembira, ramai yang hadir. Selamat hari raya buat semua rakyat (Malaysia),” katanya.

Berbeza pula dengan Naim Alam yang setiap tahun menghadiri rumah terbuka istana.

Beliau menyifatkannya sebagai pengalaman menyeronokkan.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Nigeria, Adamu Chiroma, yang mengenakan busana baju Melayu lengkap meluahkan rasa gembira kerana kerana dapat meraikan Aidilfitri di perantauan.

“Apabila berada di negara orang, kita perlu menyesuaikan diri dan cuba menjadi sebahagian daripada komuniti setempat. Oleh sebab itu, saya memakai baju Melayu.

“Saya sangat gembira hari ini. Makanan sangat sedap dan orang Malaysia sangat pemurah,” ujarnya.