fb fb fb fb fb

Agenda PAU 2024 diperhalusi, persiapan sedang giat dilakukan

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa bertemu Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin bagi berbincang dan memperhalusi agenda perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata, segala persiapan untuk menerima kehadiran para perwakilan dari seluruh negara sedang giat dilakukan.

"Persidangan Agung UMNO 2024 akan diadakan dari 21 hingga 24 Ogos ini.

"Persidangan tahun ini, saya jangka akan menjadi lebih meriah dengan pelbagai program seperti Program Ekplorasi Kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pameran perkhidmatan, teknologi dan pendidikan juga pastinya gerai jualan yang terhidang buat para perwakilan dan pengunjung.

"Insya-Allah, kita bersama-sama doakan agar Persidangan Agung UMNO tahun ini dapat berlangsung sempurna dan mencapat matlamatnya," katanya.

Ahmad Zahid juga hadir ke Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Beliau seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meneliti strategi-strategi terkini.

"Saya mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKDW bagi meneliti strategi-strategi terkini serta memastikan gerak kerja kementerian berjalan lancar dan selaras dengan matlamat pembangunan negara.

"Semoga segala usaha ini akan membawa kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat, selari dengan matlamat Kerajaan untuk memajukan negara secara inklusif berlandaskan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI