Agenda keterjaminan makanan negara terus diperkukuh, pastikan hasil pertanian mampan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerajaan terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara dengan mengoptimumkan penggunaan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta tanah-tanah berpotensi sedia ada bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh penggunaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan tanah berpotensi untuk pengeluaran pertanian mampan dan berimpak tinggi.
  • Kementerian utamakan perancangan terancang melalui kerjasama DOA dan kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan makanan negara.
  • Tiada rancangan pemberian penggunaan tanah percuma; isu sewa tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan agensi pemilik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata langkah itu menjadi keutamaan kementerian dalam memastikan aktiviti pertanian dapat dilaksanakan secara terancang bagi memenuhi keperluan makanan negara.

“Sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kementerian melalui Jabatan Pertanian (DOA) dengan kerjasama kerajaan negeri telah membangunkan sebanyak lapan TKPM baharu melibatkan kawasan seluas 563.31 hektar di bawah Projek Pembangunan Agrofood Park Baharu.

“Selain itu, pada tahun 2023 dan 2024, seluas 220 hektar tanah milik agensi persekutuan atau kerajaan negeri yang belum digunakan telah dibangunkan bagi tujuan aktiviti pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah, dalam sidang di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, kementerian menyambut baik cadangan membenarkan penggunaan tanah terbiar yang tidak diusahakan kepada pihak yang berminat dalam bidang pertanian, namun buat masa ini tiada perancangan khusus untuk melaksanakan program pemberian penggunaan tanah secara percuma bagi tempoh tertentu.

Jelasnya lagi, kementerian juga tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan bayaran sewa tanah kerana urusan berkaitan tanah adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan agensi pemilik tanah.