fb fb fb fb fb

Agama bukan alat politik, perlu segera dibendung

Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (kiri), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (tengah) dan Nordiran Idris

KUALA LUMPUR, 7 April- Agama bukan alat politik demi mencapai matlamat peribadi atau kepentingan tertentu.

Penyandang Kursi Al-Ghazali ISTAC-UIA Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, tindakan memperalatkan agama perlu segera dibendung.

Perkara itu disebabkan ianya bertentangan dengan ajaran Islam.

"Golongan yang memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan kumpulan tidak layak dimasukkan dalam kategori ulama yang benar atau ulama yang sejati.

"Ini kerana perbuatan mereka itu menunjukkan kecetekan ilmu masing-masing dan kemiskinan akhlak yang baik. Percakapan dan tingkah laku mereka
sebenarnya bertentangan dengan ajaran agama muslim," katanya.

Bagi Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, pendidikan agama yang berkesan dapat membendung kemunculan ulama palsu yang sentiasa mengambil kesempatan terhadap masyarakat.

"Terdapat golongan-golongan tertentu yang menggunakan agama demi meraih sokongan. Menimbulkan isu-isu agama untuk meraih sokongan politik, ini berlaku.

"Ini amat mengecewakan kerana agama itu adalah suci dan tidak seharusnya menjadi alat kepada mana-mana pihak untuk menggunakannya demi kepentingan politik," katanya.

Sementara itu, Pakar Syariah Nordiran Idris menjelaskan sesuatu ajaran yang menyeleweng akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dijauhi kerana ia boleh mengakibatkan kekufuran.

"Kecelaruan fahaman dalam menafsirkan sesuatu hendaklah bersandarkan pada nas dan ilmu yang jelas.

"Adalah menjadi satu tanggungjawab seorang muslim untuk mendapatkan ilmu ataupun mendapat penjelasan penerangan daripada guru atau rujukan yang menjauhi budaya takfiri iaitu budaya yang mengkufurkan dengan sewenang- wenangnya atupun budaya yang bersandarkan kata kata mulut atau pun fahaman yang tidak mendalam," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI