fb fb fb fb fb

AFF 2025: ASEAN perlu seimbangkan transformasi digital - Duta Malaysia

Datuk Tan Yang Thai/ Foto BERNAMA

HANOI, 25 Februari– Malaysia menekankan perlunya keseimbangan antara kemajuan digital dan kelestarian alam untuk memastikan rantau ini kekal mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.

Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai berkata untuk merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045, ASEAN perlu memberi tumpuan kepada keutamaan strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Menurut beliau ini selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ demi mengekalkan kelestarian alam sekitar dan memperkukuh daya tahan di rantau ini.

"Revolusi digital menawarkan peluang besar kepada ASEAN, namun jurang dalam infrastruktur, literasi digital dan akses kepada teknologi boleh melebarkan ketidakseimbangan pembangunan.

“ASEAN perlu merapatkan jurang digital, mengawal selia kecerdasan buatan (AI), meningkatkan keselamatan siber serta menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam peralihan digital," katanya kepada RTM di sini hari ini.

Selain itu, beliau menekankan keperluan ASEAN untuk memastikan akses yang saksama kepada peluang ekonomi.

Ini termasuk memperkasakan wanita, menyediakan pekerjaan untuk belia serta membangunkan ekonomi luar bandar melalui kerjasama subserantau ASEAN dan perkongsian awam-swasta.

"Dalam konteks ekonomi hijau, strategi ASEAN mesti berlandaskan kelestarian, dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau, bandar pintar, ekonomi kitaran serta pertanian mampan dan keselamatan makanan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama Forum Masa Depan ASEAN edisi kedua di sini pada awal pagi esok.

Forum itu merupakan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia pada tahun ini.

Ini termasuk usaha-usaha dalam mempromosi pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM