KUALA LUMPUR, 25 Februari- Kementerian Pengangkutan (MOT) menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha pencarian semula pesawat Malaysia Airlines MH370 oleh syarikat robotik marin Britain, Ocean Infinity.
Menterinya, Anthony Loke mengesahkan pihaknya memberi kelulusan prinsipal dan dalam proses memuktamadkan kontrak untuk ditandatangani.
Ocean Infinity juga memberi jaminan pencarian mereka adalah berdasarkan penyelidikan, dan data daripada pelbagai pakar.
"Semoga ini dapat memberi sedikit jawapan kepada waris bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada industri penerbangan di dunia kerana ini adalah misteri terbesar dalam sejarah penerbangan," katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran platform e-Pelesenan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia di sini.