ABU DBS 2026 kembali, himpun penggiat industri penyiaran 30 Mac-2 April

Pengarah Teknologi dan Inovasi, Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), Dr Veysel Binbay

KUALA LUMPUR, 19 Mac ABU Digital Broadcasting Symposium (DBS) kembali dianjurkan tahun ini sebagai antara platform utama menghimpunkan penggiat industri penyiaran bagi membincangkan perkembangan teknologi dan cabaran semasa dalam sektor tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Simposium 30 Mac hingga 2 April di Berjaya Times Square menampilkan persidangan, bengkel, kelas induk dan pameran berskala besar.
  • Fokus meneliti landskap teknologi penyiaran dan berkongsi amalan terbaik melalui perbincangan serta kolaborasi bersama pakar global.
  • Tema "The Rising Synthetic Era" menyorot cabaran kandungan sintetik dan kecerdasan buatan yang mengaburkan keaslian serta menjejaskan kepercayaan penyiaran.
  • Lebih 1,000 peserta dijangka termasuk kira-kira 300 hingga 400 wakil penyiar, vendor dan rakan industri pada edisi ke-22.

Simposium yang berlangsung dari 30 Mac hingga 2 April di Berjaya Times Square itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk persidangan, bengkel, kelas induk serta pameran berskala besar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara penyiaran terbesar di rantau ini.

Pengarah Teknologi dan Inovasi, Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), Dr Veysel Binbay berkata, fokus utama program ini adalah untuk meneliti landskap teknologi penyiaran serta mencari amalan terbaik dalam kalangan profesional industri melalui perbincangan dan kolaborasi bersama pakar global.

“Kami ingin menekankan kesan era sintetik yang sedang kita hadapi. Pada masa kini, seperti yang kita sedia maklum, perbezaan antara rakaman asli, kandungan tulen serta bahan audio visual dengan kandungan sintetik semakin kabur seperti tidak pernah berlaku sebelum ini. Hakikatnya, tidak lagi mudah untuk membezakan mana satu yang benar-benar asli dan mana satu yang dihasilkan secara sintetik. Situasi ini sekali gus menjadi ancaman besar terhadap kelangsungan penyiar awam, malah kepada seluruh industri penyiaran secara keseluruhan.

Tema tahun ini, “The Rising Synthetic Era”, dipilih bagi mencerminkan perubahan pesat didorong teknologi kecerdasan buatan dan kandungan sintetik yang semakin sukar dibezakan daripada kandungan asli, sekali gus menimbulkan cabaran terhadap kepercayaan dan keaslian dalam penyiaran.

Sehubungan itu, simposium berkenaan akan memberi penekanan terhadap pendekatan seimbang dalam memanfaatkan teknologi baharu tanpa mengabaikan nilai teras industri, di samping membincangkan langkah terbaik untuk menangani cabaran tersebut secara kolektif.

Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai simposium ini termasuk kira-kira 300 hingga 400 wakil penyiar, vendor dan rakan industri, dengan edisi ke-22 ini turut menampilkan barisan pakar terkemuka bagi memperkukuh perkongsian ilmu dan jaringan dalam industri penyiaran.