
KULIM, 9 Februari – Kebakaran di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Padang Cina, di sini, terkawal.
- Operasi pemadaman hari ke-14 berjaya memadamkan 93 peratus kawasan kebakaran.
- 21,922.76 tan tanah digunakan bersama pam berkuasa tinggi dan hydro-sub untuk menutupi kawasan terbakar.
- Tiada anggota cedera; mereka dibekalkan alat perlindungan pernafasan walaupun berdepan asap tebal dan bau busuk.
Operasi pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memasuki hari ke-14, berjaya memadamkan 93 peratus kawasan kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I, Azhar Mohamad berkata, selain menggunakan sumber air terbuka, sebanyak 21,922.76 tan tanah turut digunakan bagi menutupi kawasan yang terbakar.
“Operasi berjaya memadamkan kebakaran melibatkan kawasan seluas 5.645 hektar, manakala baki 0.424 hektar atau tujuh peratus masih sedang dipadamkan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurutnya, sumber air diperoleh daripada kolam tadahan serta sungai berhampiran tapak pelupusan berkenaan menggunakan pam berkuasa tinggi, hydro-sub dari Kedah dan Perak.
“Kawasan yang boleh dimasuki jentera berat seperti jengkaut, kita menggunakan tanah bagi menutupi tempat terbakar. Selain itu, kita menggunakan air dalam kuantiti yang banyak melalui penggunaan pam berkuasa tinggi, hydro-sub, dari Kedah dan Perak.” katanya.
Operasi pemadaman ketika ini melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech, BBP Sungai Petani, BBP Alor Setar dan BBP Serdang.
Azhar turut memaklumkan tiada anggota yang dilaporkan cedera dan mereka dibekalkan dengan alat perlindungan pernafasan.
Selain, pili bomba yang terletak jauh dari tapak pelupusan tersebut, asap tebal dan bau busuk merupakan cabaran utama anggota bomba dalam operasi pemadaman kebakaran itu.
Kebakaran yang tercetus pada 27 Januari lalu melibatkan keluasan hampir enam hektar daripada keseluruhan 10 hektar kawasan tapak pelupusan berkenaan, sekali gus memerlukan operasi pemadaman berskala besar dan berpanjangan.