KUALA LUMPUR, 21 Julai - Sebanyak 8,000 aduan berkaitan kepenggunaan diterima menerusi platform Aduan Suri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Penguna dan Pengurusan) KPDN, Roszanina Wahab berkata statistik itu membuktikan kesedaran pengguna terutama golongan suri rumah sebagai pembeli dan pengguna semakin meningkat.
"Bila kita perkenalkan kod QR aduan suri, memang kita sasarkan suri rumah tangga untuk buat aduan. Ini kerana suri rumah selalu ke pasar, selalu pergi ke kedai runcit, pasar raya besar untuk beli barangan," katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, di sini.
Tambah Roszanina, selain platform Aduan Suri pengguna juga boleh mengemukakan sebarang aduan menerusi lapan saluran yang disediakan termasuk Portal e-Aduan, aplikasi WhatsApp dan aplikasi ezAdu KPDN.