KUALA LUMPUR, 23 November- Seramai 391 penduduk terjejas banjir di Terengganu setakat pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, 17 PPS telah dibuka di enam daerah di Terengganu.
"Marang daerah paling terjejas, dengan 195 penduduk dipindahkan di empat PPS," menurut kenyataan itu.
Paras air di empat sungai utama di Marang dan Setiu juga berada pada tahap amaran dan menunjukkan trend menaik.
Melaka turut terjejas dengan 264 penduduk berlindung di tiga PPS yang dibuka secara berperingkat sejak malam tadi.
"Kawasan yang terkesan termasuk Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A dan Kampung Pantai Kundur, susulan hujan lebat berterusan semalam," menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri.
Di Perak, sebuah PPS dibuka bagi menempatkan 61 penduduk yang terjejas, manakala Kelantan menyaksikan 40 penduduk masih berlindung di sebuah PPS.
Selangor pula mencatat tujuh penduduk terjejas banjir yang kini ditempatkan di sebuah PPS.