IPOH, 22 November - Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama dibuka selepas daerah tersebut dilanda banjir malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan berkata, PPS itu menempatkan 66 penduduk terjejas banjir daripada 23 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak (RHN), Hulu Perak mencatat tahap amaran iaitu setinggi 165.55 meter (m) berbanding paras normal 165.10 m.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di Perak berlaku ribut petir dan hujan pada sebelah petang serta malam.
Kebanyakan daerah yang terlibat adalah Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar serta Kinta.