BUKIT MERTAJAM, 9 Januari- Sebanyak 572 unit barangan elektrik tiruan dirampas dalam operasi ke atas sebuah premis gudang di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang RS Jegan berkata, serbuan dilakukan pukul 11.30 pagi itu susulan aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar mencurigai kewujudan aktiviti penjualan barangan tiruan di premis berkenaan.
"Menerusi operasi itu, wanita tempatan yang datang hanya pekerja yang menguruskan. Arahan berkenaan daripada pemilik sebenarnya dari China. Pemilik itu berada di luar negara, dan tuan dia yang akan hantar semua barang ke gudang ini.
"Semua maklumat dan makluman yang diberikan diperolehi daripada pemilik yang berada di China. Ia termasuk lokasi untuk mengambil barangan dan lokasi untuk mengepos barang tersebut. Wanita berkenaan hanya bekerja dan dibayar gaji selama kira-kira enam bulan beroperasi," katanya.
Kesemua barangan elektrik tiruan tersebut dijual pada harga serendah 50 peratus daripada harga asal produk tulen.
Sindiket itu turut menggunakan platform perniagaan dalam talian seperti TikTok untuk memasarkan produk mereka kepada pembeli.
Kesemua barangan berserta dokumen perniagaan berkaitan disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM27,279.
Antara barangan dirampas termasuk pengisar, pengering rambut, pelurus rambut, pencukur, berus gigi elektrik disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).