IPOH, 17 April - Kira-kira lima unit kiosk Mahasiswa Sejahtera akan dibina di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perak menjelang Jun ini, bagi menyajikan pelbagai pilihan makanan dengan harga lebih rendah dan berkhasiat kepada pelajar.
Program bawah kerjasama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kotak Global Sdn Bhd (KGSD) itu akan dimulakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 itu merupakan projek rintis dan dijangka akan diperluaskan ke IPT awam dan swasta lain sekiranya menerima maklum balas positif.
"Mahasiswa Perak Sejahtera merupakan program khusus yang diwujudkan Kerajaan Negeri bagi membantu pelajar, graduan serta belia daripada golongan B40 dan asnaf untuk mendapatkan makanan pada harga yang lebih rendah dan berkhasiat. Program tersebut juga mampu melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan graduan," kata Saarani, di sini.
(Datuk Seri Saarani Mohamad/FOTO BERNAMA)
Beliau ditemui pemberita ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di antara Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Ismail Saffian dan Ketua Eksekutif KGSD, Fatima Chan Abdullah.