fb fb fb fb fb

5,000 premis sekitar Seremban bakal nikmati Internet berkelajuan tinggi

Foto BERNAMA

NILAI, 31 Oktober - Lebih 5,000 premis di sekitar Seremban bakal menikmati kemudahan Internet berkelajuan tinggi menerusi peluasan infrastruktur gentian optik bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, pelaksanaan bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu turut melibatkan kerjasama TIME dotCom Berhad bagi melaksanakan sambungan Fiber-to-the-Premis (FTTP) di 12 lokasi.

"Jadi di Seremban ini, kita ada 12 lokasi, 6 lokasi di Nilai, Alhamdulillah hari ini pun dah siap dan 6 lokasi lagi adalah di sekitar kawasan Seremban 2 dan insya-Allah akan boleh digunakan menjelang bulan November ataupun selewat-lewatnya Disember nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Gentian Optik ( Fibre-To-The-Home) bawah inisiatif MCMC di Dewan JMB Taman Semarak Dua Nilai. 

Tambahnya, inisiatif itu memberi tumpuan kepada kawasan flat golongan berpendapatan rendah, bagi memastikan keluarga serta pelajar mendapat akses pembelajaran dalam talian yang lebih baik.

Turut hadir pada lawatan kerja ke tapak projek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar .

Menurutnya projek itu amat penting bagi mengatasi isu kekurangan port Internet di kawasan kepadatan tinggi seperti Flat Taman Semarak Fasa Dua Nilai, yang melibatkan lebih tiga ribu premis.

"Sebab dulu mungkin elektrik dengan air itu adalah satu keperluan asas. Tetapi hari ini, Internet juga adalah satu keperluan asas. Maka semua rumah, semua orang sudah ada Internet. Maka, ini adalah satu keperluan yang sangat dialu-alukan dan kita harap ini dapat membantu masyarakat untuk mempunyai satu akses kepada internet di semua tempat, di semua rumah," katanya.

EMMI NORALIZA ADNAN