MANJUNG, 1 Ogos - Sebanyak 432 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat 14 kilogram pelbagai jenama disita dalam Ops Gasak 2025 di Segari, Manjung, Perak.
Operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu terhadap aktiviti penyalahgunaan barang kawalan di sebuah ladang ternakan ayam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dibuat selepas pihaknya mengesan kegiatan mencurigakan di lokasi terbabit.
Pemeriksaan mendapati gas bersubsidi itu digunakan bagi tujuan perniagaan tanpa permit kebenaran daripada Pengawal Pembekal.
Dua lelaki tempatan berusia 50 dan 40 tahun yang bertugas sebagai pengurus ladang dan pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan.
Antara barangan lain yang disita termasuk sebuah lori lima tan, buku resit, kunci lori dan beberapa dokumen berkaitan.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM76,000 dan kes disiasat bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Pemilik ladang disyaki menyimpan barang kawalan tanpa permit, manakala pembekal LPG dipercayai menjual gas bersubsidi kepada pihak yang tidak dibenarkan.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi badan korporat, denda boleh mencecah sehingga RM5 juta.