MELAKA, 1 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pemangkin utama pembangunan Melaka apabila negeri itu mengemukakan 258 permohonan projek bernilai RM7.15 bilion di bawah Rolling Plan 1 (RP1), meliputi infrastruktur moden, ekonomi digital dan industri strategik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tumpuan yang diberikan kepada Melaka dalam pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ), Projek Tebatan Banjir Sungai Baru dan penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia.
Tumpuan itu sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab pelancongan dan industri halal serantau.
“Melaka telah mengemukakan permohonan sebanyak 258 projek pembangunan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 bagi tahun 2026 dengan anggaran kos berjumlah RM7.15 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi yang dicadangkan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur moden, pengukuhan ekonomi digital dan pemerkasaan industri strategik di negeri ini.
Dalam pengumuman semalam, Perdana Menteri turut menyatakan bahawa pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan Strategik (STIZ) akan melibatkan Melaka, sejajar dengan statusnya sebagai antara negeri utama pelancongan negara.
Melaka juga dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru yang berperanan mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam masa sama, penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia yang diumumkan di bawah RMK13 turut akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab halal strategik untuk rantau ini.