KANGAR, 1 Ogos - Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang amat penting sebagai asas kukuh dalam mempersiapkan anak-anak untuk menghadapi alam persekolahan dengan lebih yakin dan berkesan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendidikan awal juga memainkan peranan dalam mencorakkan perkembangan sosial kanak-kanak, terutamanya dalam aspek kemahiran berinteraksi dan membina hubungan positif bersama rakan sebaya serta para pendidik.
Baginda bertitah, sebuah pusat pendidikan yang berkualiti akan menyediakan persekitaran yang selesa dan harmoni, sekali gus menyemai minat terhadap pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.
"Keadaan ini bukan sahaja melahirkan individu yang berdaya saing, malah turut menyokong tumbesaran dan perkembangan intelektual mereka secara menyeluruh", titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah ketika menyempurnakan Penyampaian Biasiswa Seorang Anak Sebesar Harapan 2025 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri Perlis, Sungai Batu Pahat.
Pada majlis itu, Smart Reader Worldwide menyerahkan cek biasiswa kepada YTSP Perlis berjumlah RM60,000 serta penyampaian peralatan persekolahan kepada sembilan orang pelajar terpilih bagi tahun ini.
Program biasiswa "Seorang Anak Sebesar Harapan" sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih 600 orang kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara dengan lebih RM2.5 juta diagihkan melalui pelbagai badan amal, termasuk Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Turut berangkat mengiringi Baginda, Raja Puan Muda, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.