KUALA LUMPUR, 4 April- Seramai 43,019 pelajar sekolah menengah dikesan merokok pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah itu diperoleh hasil saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK).
Jelas beliau, saringan terhadap dua juta pelajar sekolah rendah bagi tempoh sama pula mendapati 341 murid terjebak dengan tabiat itu.
"Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok, manakala murid yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok," katanya ketika menjawab pertanyaan N Balasubramaniampada pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.
(Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan)
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkasa dan memperluas Kempen Generasi Penamat Antirokok 18 (GEGAR-18) bagi mengekang tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan belia.
GEGAR-18 dilaksana bagi memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan untuk mewujudkan persekitaran bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.