
BATU GAJAH, 23 Februari – Sebanyak 40 surau dan masjid di kawasan Parlimen Batu Gajah menerima sumbangan berjumlah lebih RM200,000 bersempena bulan Ramadan tahun ini.
- 40 surau dan masjid di Parlimen Batu Gajah menerima sumbangan Ramadan tahun ini.
- Setiap surau dan masjid menerima RM5,000 untuk persiapan aktiviti keagamaan dan kebajikan.
- Penerima ditambah termasuk beberapa agensi kerajaan dengan surau masing-masing.
- Lebih 300 orang hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Dewan Bandaran Kinta.
Ahli Parlimen Batu Gajah, Dr. V. Sivakumar berkata, peningkatan jumlah penerima termasuk beberapa agensi kerajaan yang mempunyai surau masing-masing bertujuan memastikan lebih banyak institusi dapat merancang program sepanjang Ramadan dengan lebih teratur.
Menurut beliau, setiap surau dan masjid menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi membolehkan jawatankuasa membuat persiapan awal termasuk penganjuran aktiviti keagamaan dan kebajikan.
“Tahun ini jumlahnya telah ditambah kepada 40 termasuk beberapa agensi kerajaan yang mempunyai surau masing-masing. Saya mahu trend ini berterusan supaya apabila tiba bulan Ramadan, sekurang-kurangnya semua surau dan masjid tahu mereka akan menerima RM5,000 daripada Ahli Parlimen Batu Gajah dan mereka boleh membuat perancangan lebih awal,” katanya.
Beliau ditemui media pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bulan Ramadan Parlimen Batu Gajah yang berlangsung di Dewan Bandaran Kinta, di sini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran lebih 300 orang sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap inisiatif berkenaan.