fb fb fb fb fb

4 kapal kargo ditahan, bersauh tanpa kebenaran

JOHOR BAHRU, 10 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan empat kapal di perairan Johor timur dalam operasi penguatkuasaan semalam.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan pertama membabitkan dua buah kapal kargo kira-kira pukul 10.50 pagi hingga 11.30 pagi, di kedudukan 32 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kapal ketiga ditahan pukul 11.40 pagi di Tanjung Siang manakala kapal terakhir ditangkap di kedudukan 12 batu nautika Tanjung Balau, 4.15 petang.

Kesemua 55 kru berusia 25 hingga 67 tahun ditahan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan pemindahan minyak.

"Pindah minyak ini dilakukan untuk elakkan daripada mendapatkan kelulusan kerajaan Malaysia yang sepatutnya dilaksanakan. Kes dalam siasatan, kita akan siasat semua aspek sama ada minyak tu daripada sumber sah atau tidak," kata Nurul Hizam bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, di sini.

(Kesemua 55 kru berusia 25 hingga 67 tahun ditahan)

Sepanjang tahun lalu 74 kapal ditahan, menunjukkan berkurangan daripada 117 pada 2021 sejak Ops Jangkar Haram dilancarkan pada Mac 2021.

Media Baharu