fb fb fb fb fb

4,524 orang fakir dan miskin di Negeri Sembilan terima BKK, RM300

REMBAU, 6 April- Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) akan mengagihkan pemberian sumbangan tunai kepada golongan fakir dan miskin di seluruh daerah di Negeri Sembilan.

Seramai 4,524 orang fakir dan miskin akan menerima manfaat daripada Bantuan Khas Kewangan (BKK) ini dengan nilai sebanyak RM300 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga telah menyalurkan bantuan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada asnaf fakir dan RM500 kepada asnaf miskin menjadikan jumlah yang diterima oleh asnaf fakir ialah sebanyak RM1,000 manakala asnaf miskin sebanyak RM800.

"Sumbangan kerajaan negeri pada hari ini sedikit sebanyak membantu tuan-tuan dan puan-puan menyediakan kelengkapan dan persiapan menyambut lebaran.

Saya juga menyarankan semua penerima untuk merancang perbelanjaan dengan bijak agar mempunyai sedikit wang simpanan walaupun kita meraikan hari raya akan datang," kata Aminuddin dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Fakir Miskin Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur, di sini.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama jemaah yang hadir pada Majlis
Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Fakir Miskin Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur)

Sementara itu, rata-rata penerima yang ditemui menzahirkan rasa syukur kerana sumbangan tersebut dapat meringakan beban mereka dalam menyediakan persiapan hari raya.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan penyaluran bantuan ini. Ia sedikit sebanyak dapat membantu saya meringankan beban untuk menyambut hari raya nanti," kata Mohamad Asnizam Mohamad.

"Alhamdulillah, dapat duit bantuan asnaf ini dapat meringankan beban keluarga saya, sebab suami saya adalah pesakit dialisis dan anak saya pula pesakit 'down sindrom'. Saya tak terkata nak cakap macam mana, memang meringankan beban keluarga saya la untuk perayaan nanti boleh beli baju ke persiapan hari raya," kata Siti Noridayu Zainal.

 

Media Baharu