fb fb fb fb fb

395, 870 calon duduki SPM bermula 8 Januari ini

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Januari - Seramai 395, 870 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan menduduki peperiksaan itu pada 8 Januari hingga 7 Mac ini di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang akan bermula pada 8 hingga 11 Januari diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari 2024.

Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pula diadakan serentak iaitu pada 29 Januari ini.

Menurut KPM, seramai 129,635 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

KPM berkata, pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung.

"Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

KPM dalam kenyataan itu mengingatkan semua calon, untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

GRACE AISYAH KEDAYAN