fb fb fb fb fb

391 saman, 37 motosikal disita polis Perak dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan

(FOTO POLIS DAERAH IPOH)

IPOH, 4 Jun- Sebanyak 185 buah motosikal dan 258 individu diperiksa dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan, Polis Daerah Ipoh bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, di Jalan Pasir Puteh berhampiran Station 18.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahya Hassan, operasi yang melibatkan 62 anggota itu telah mengeluarkan 391 saman kepada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 37 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan dan lapan lelaki warga tempatan ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Tiga lelaki warga tempatan turut ditahan setelah didapati positif dadah jenis methamphetamine bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (1983) Pindaan 1993.

IPD Ipoh akan terus menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memperkasa tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng-samseng di daerah itu.


(FOTO POLIS DAERAH IPOH)

Media Baharu