fb fb fb fb fb

Banjir: 369 anggota PDRM digerakkan ke Johor, bantu penduduk terjejas - Acryl

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Seramai 369 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir di Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan banjir yang melanda negeri Johor kali ini merupakan antara yang terburuk sejak tahun 2006.

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani / FOTO BERNAMA)

"Kita telah pun menggerakkan tenaga kerja, sumber manusia dan aset PDRM dan tentu sekali pusat bencana negara juga telah pun digerakkan dan diaktifkan dengan mengerakkan semua elemen-elemen yang terdiri daripada pusat pemindahan, bekalan makanan, kerja-kerja mencari dan menyelamat," kata Acryl pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang Tahun 2022 di Ibu Negara.

Tambah Acryl, operasi kepolisan di balai polis Chaah, Segamat yang ditenggelami air dihentikan buat sementara waktu bagi urusan baik pulih.

"Seramai 126 mangsa terjejas banjir di kuarters Ibu Pejabat Daerah Segamat juga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.

Berhubung pagar runtuh akibat banjir di balai polis Bahau, Acryl memaklumkan operasi di balai polis tersebut masih berjalan seperti biasa dan aktiviti kepolisan diteruskan.

Media Baharu