fb fb fb fb fb

16 keluarga Long Lama dipindahkan ke PPS

Long Lama dilanda banjir selepas hujan berterusan sejak semalam

MIRI, 16 September - Seramai 36 penduduk daripada 16 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SJK(C) Kee Tee selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir di Long Lama, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Telang Usan memaklumkan, PPS dibuka pada 3.30 petang semalam dan menempatkan penduduk dari Pekan Long Lama, Kampung Kayan Long Lama serta Kampung Cina Long Lama.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, mereka yang terjejas terdiri daripada 12 lelaki dan 24 perempuan termasuk bayi, kanak-kanak dan warga emas.

“Banjir berlaku susulan fenomena air pasang besar yang bertembung dengan hujan lebat berterusan sejak 8 Sept lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 21 petugas daripada pelbagai agensi terbabit dalam menguruskan PPS berkenaan termasuk Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, RELA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setakat 7.02 pagi ini, tiada penambahan mangsa direkodkan dan keadaan di PPS dilaporkan terkawal serta selamat,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN