
PADANG BESAR, 9 Mac – Seramai 300 beliawanis dan wanita, khususnya suri rumah di Padang Besar disasarkan menyertai program kemahiran yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka sepanjang tahun ini.
- Enam bidang ditawarkan: masakan, jahitan, dandanan diri, pendidikan kesejahteraan keluarga, seni tangan dan komputer.
- Program memberi peluang meningkatkan pengetahuan serta pengalaman keusahawanan yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan.
- KEMAS dan MARA menyediakan dana serta bantuan peralatan bagi membantu peserta memulakan dan mengembangkan perniagaan.
Antara enam bidang utama yang ditawarkan ialah masakan, jahitan, dandanan diri, pendidikan kesejahteraan keluarga, seni tangan dan komputer.
Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Padang Besar, Ruzaini Rais berkata program tersebut memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan serta memperoleh pengalaman dalam bidang keusahawanan.
Menurut beliau, kemahiran yang dipelajari juga berpotensi dikembangkan menjadi sumber pendapatan melalui aktiviti perniagaan.
Beliau turut menggalakkan golongan wanita dan beliawanis agar tidak melepaskan peluang yang disediakan oleh KEMAS untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup.
Ruzaini berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Parlimen Padang Besar kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan dan Ketua Puteri UMNO Cawangan dalam Bahagian Padang Besar yang diadakan di Dewan KEMAS Alor Tampang.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Besar, Haslinda Ahmad berkata bidang keusahawanan kini menjadi fokus utama dalam kalangan beliawanis dan wanita di kawasan tersebut.
Menurutnya, pelbagai kemudahan disediakan bagi membantu mereka memulakan perniagaan, termasuk dana serta bantuan peralatan daripada KEMAS dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengembangkan perniagaan yang diceburi.