fb fb fb fb fb

30 rakyat Malaysia dari Sudan tiba esok

(Foto Kementerian Luar)

KUALA LUMPUR, 27 April- Seramai 30 rakyat Malaysia selamat tiba di Jeddah dari Pelabuhan Sudan, akan pulang ke tanah air esok menggunakan penerbangan Saudia SV834.

Menurut Kementerian Luar, mereka dijangka tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.55 petang.

Terdahulu, mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah selepas menempuh perjalanan hampir sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Mereka tiba dalam kumpulan 194 orang yang dibawa keluar melalui kapal H.M.S Abha, Tentera Laut Arab Saudi.

Turut bersama rakyat Malaysia dalam kapal tentera Arab Saudi iniĀ adalah 22 rakyat negara lain yang dibawa keluar oleh kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, terdiri daripada dua warga Amerika Syarikat, enam warga Kemboja, 14 warga Singapura dan masing-masing seorang warga Filipina, Palestin, Sudan dan Thailand.

Sementara itu, kerajaan menyatakan penghargaan ikhlas kepada kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana menjayakan proses pemindahan.

"Kerajaan juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang terus menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Sudan.

"Baginda telah menghubungi Presiden UAE bagi membantu operasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan. Kejayaan operasi turut dibantu melalui penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdana menteri telah menghubungi sendiri kepimpinan Sudan bagi mendapatkan laluan keselamatan rakyat Malaysia sewaktu perjalanan sejauh 1,233 kilometer dilakukan dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan," katanya menerusi kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, pertempuran antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menyaksikan Sudan terus bergolak sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan dan memerangkap jutaan rakyat di negara itu tanpa akses kepada perkhidmatan asas.


(Foto Kementerian Luar)

Media Baharu