SELANGOR, 28 Oktober- Seramai 277 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor ditugaskan untuk memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 November depan.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata pemantauan tersebut melibatkan lapan jenis barangan yang telah diwartakan, termasuk daging kambing, biri-biri bertulang import, serta beberapa jenis sayuran dan kelapa.
Beliau menjelaskan bahawa pemeriksaan akan dijalankan di lokasi awam seperti pasar dan pusat membeli-belah, dengan fokus kepada penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan harga maksimum, dan keberadaan bekalan.
Tambahnya, pelaksanaan skim berkenaan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan sebarang ketidakpatuhan boleh mengakibatkan penalti terhadap peniaga.