
SHAH ALAM, 11 Februari – Sebanyak 2,123 permit telah diluluskan melibatkan 35 lokasi bazar di sekitar Shah Alam sempena Bazar Ramadan 2026.
- 2,123 permit diluluskan untuk 35 lokasi bazar Ramadan di Shah Alam.
- Yayasan MBI sediakan RM50,000 Kupon Digital PLATS untuk merancakkan bazar dan bantu rakyat.
- Kupon RM10 diagihkan kepada 5,000 pengunjung di 16 lokasi PLATS–Agrobank terpilih.
- Penekanan pada kualiti, kebersihan makanan serta pengagihan lebihan makanan melalui program infaq MBSA.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan MBI Selangor turut menyediakan RM50,000 Kupon Digital menerusi kempen PLATS Belanja Masuk Bazar bagi memeriahkan lagi suasana bazar serta membantu meringankan perbelanjaan rakyat.
Menurutnya, kupon digital bernilai RM10 itu akan diagihkan kepada 5,000 pengunjung di 16 lokasi Bazar Ramadan PLATS–Agrobank 2026 terpilih.
“Kerajaan negeri komited memastikan penganjuran Bazar Ramadan tahun ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada peniaga serta pengunjung. Inisiatif kupon digital ini diharap dapat merancakkan transaksi tanpa tunai dan menyokong pendigitalan usahawan kecil.
“Jika sebelum ini sekitar 1,400 peniaga terlibat, pada 2023 hanya kira-kira 500 sahaja. Tahun lalu, transaksi melalui peranti Agrobank sahaja mencecah RM3 juta, menunjukkan peningkatan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadan di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, pada Rabu.
Amirudin turut mengingatkan para usahawan agar sentiasa menitikberatkan aspek kualiti serta kebersihan makanan dan minuman yang dijual bagi menjaga reputasi bazar Ramadan di negeri itu.
“Selain itu, saya menyeru agar lebihan makanan dapat disalurkan melalui program infaq bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, selaras dengan semangat dan ibrah Ramadan,” katanya.
Beliau berharap peniaga memanfaatkan peluang yang disediakan sebaiknya dan Bazar Ramadan 2026 dapat berlangsung dalam suasana yang lancar, meriah serta membawa keberkatan kepada seluruh rakyat, sekali gus menjadikan Selangor contoh dalam pengurusan bazar yang tersusun dan prihatin.