(Majlis Konvensyen HMI yang dirasmikan Menteri Besar
Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun)
SEREMBAN, 22 Ogos- Seramai 200 kakitangan kesihatan hospital kerajaan, swasta dan kolej perubatan dari seluruh negeri menyertai Konvensyen Hospital Mesra Ibadah (HMI) Peringkat Negeri Sembilan.
Menurut Timbalan Pengerusi Akademi HMI, Dr. Suhaimi Abdul Halim, konvensyen itu bertujuan memberi penerangan kepada petugas sektor kesihatan mengenai kaedah mengaplikasikan rawatan yang mesra ibadah di hospital.
Ia bagi memastikan pesakit dapat terus melaksana ibadah sepanjang tempoh mereka berada di pusat rawatan dengan bantuan pengamal perubatan yang bertugas.
"Kalau kita ingat 10 ke 20 tahun dulu, kebanyakan petugas keihatan tak berapa yakin utuk membantu pesakit, sekarang dengan latihan yang kita adakan alhamdulillah kita boleh bantu untuk pesakit ambil wuduk, solat dan sebagainya," kata Dr. Suhaimi dalam Konvensyen HMI yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini.
Tambahnya, petugas perubatan perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan pesakit terus menerima bimbingan yang betul.
Sehubungan itu Akademi HMI turut menyediakan latihan kepada petugas kesihatan sebagai persediaan untuk membantu pesakit menyempurnakan ibadah mereka.
Sementara itu, Datuk Seri Aminuddin menyokong penganjuran konvensyen itu yang dilihat dapat memberi lebih pendedahan kepada petugas kesihatan di Negeri Sembilan.
"Kita dalam keadaan tertekan kita dan keluarga melalui tempoh yang sangat sukar. Perlu ada orang yang membantu bukan sahaja doktor dan jururawat tetapi bantuan sampingan itu juga perlu untuk menguatkan semangat memberikan kekuatan kepada mereka meneruskan kehidupan." kata Aminuddin ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
(Datuk Seri Aminuddin menyokong penganjuran konvensyen itu yang dilihat dapat memberi
lebih pendedahan kepada petugas kesihatan di Negeri Sembilan)