199 kes wabak scabies dikesan di Kelantan tahun lalu

Foto hiasan /BERNAMA

GUA MUSANG, 13 Februari – 199 kes wabak scabies atau kudis buta dikesan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kelantan sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 199 kes scabies dikesan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kelantan sepanjang tahun lalu.
  • Kes tertinggi di Pos Balar (185 kes) dan 14 kes di Kampung Chacuh, Pos Belatim.
  • Scabies disebabkan hama Sarcoptes scabiei, menyebabkan kegatalan luar biasa dan mudah merebak dalam keadaan rumah padat.
  • Risiko komplikasi serius termasuk jangkitan sekunder; 80 kes dilaporkan sejak Januari di beberapa pos.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, kes terbabit dikesan di dua penempatan Orang Asli di pedalaman daerah Gua Musang iaitu di Pos Balar dan Pos Belatim.

Menurutnya, kes tertinggi direkodkan di Pos Balar dengan 185 kes, manakala 14 kes dilaporkan di Kampung Chacuh, Pos Belatim.

Scabies berpunca daripada hama Sarcoptes Scabiei yang menyebabkan kegatalan luar biasa serta mudah merebak.

“Tanda-tanda penyakit ini mudah sahaja. Gatal-gatal yang luar biasa yang boleh menyebabkan pesakit tidak dapat tidur malam. Tapi kita khuatir walaupun dia hama tetapi sekiranya tidak dirawat dia mudah merebak kepada ahli keluarga yang lain.

“Ini terutama ketika duduk di dalam rumah yang berhimpit-himpit, padat, mudah untuk merebak kepada ahli keluarga. Jika dibiarkan luka-luka yang berlaku akibat kesan garu dan sebagainya akan memudahkan jangkitan baharu. Ini yang paling membimbangkan kerana kesan ini boleh menyebabkan jangkitan serius sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

Datuk Mohd Azman berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 80 kes Scabies dikesan di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.

Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Outreach Literasi Kesihatan peringkat daerah Gua Musang di Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan.