KUALA LUMPUR, 17 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan menahan 17 individu di sebuah premis di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur malam tadi.
Susulan operasi tergempar itu,14 lelaki warga China dan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi itu dijalankan berikutan aduan orang awam dan risikan yang dibuat selama sebulan.
Bagaimanapun menurut siasatan awal, sindiket menyasarkan warga Brazil susulan waktu operasi yang dijalankan bermula pukul 10.00 malam hingga 10.00 pagi.
"Semasa operasi ini dilakukan kita mendapati tiada kerjasama diberikan oleh pihak yang menjaga premis tersebut. Setelah kita memecah masuk ke premis tersebut dan operasi itu dilakukan oleh 14 lelaki warga China yang sedang menjalankan urusniaga secara dalam talian. Namun mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam sidang akhbar khas di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta, di ibu negara.
Kira-kira 16 unit komputer riba, 10 skrin komputer, 45 telefon bimbit, dua tablet dan beberapa peralatan komputer serta bil utiliti premis dirampas dalam oeprasi itu.
Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.