fb fb fb fb fb

150,000 penduduk Papar terjejas akibat kemarau

Foto Hiasan

PAPAR, 15 Mac - Bencana kemarau di Papar menjejaskan 150,000 penduduk serta 42 buah kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat dalam daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar Mohd Fuad Abdullah berkata, penghantaran bekalan air bersih dilakukan melibatkan aset serta logistik daripada jabatan serta agensi terlibat.

Beliau, yang juga Pegawai Daerah Papar, berkata antaranya tujuh buah lori tangki berkapasiti 10,000 liter daripada Jabatan Air Negeri Sabah dan masing-masing sebuah lori Majlis Daerah Papar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.

DUN Kawang (tiga lori), Parlimen Papar (1), Jabatan Kerja Raya (2), DUN Pantai Manis (1) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah (sebuah lori rescue tender).

"Operasi menghantar bekalan air bersih dijalankan di empat kawasan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu Sekolah Kebangsaan Pantai Manis, Kampung Timbangan, Palm Condominium dan Gereja Kampung Limbahau,” katanya menerusi kenyataan.

Berdasarkan rekod Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar sebanyak sembilan kes kebakaran di daerah itu sejak 9 Mac lalu.

Mohd Fuad berkata memaklumkan, terbaharu kebakaran lalang di kawasan seluas 0.81 hektar di Pengalat Besar pada 12.07 tengah hari tadi.

Kemarau di daerah ini turut menjejaskan sektor pertanian khususnya 93 orang pesawah padi di Mukim Limbahau dengan keluaasan 54.68 hektar dan Mukim Biau Padawan dengan keluasan 30.22 hektar.

"Dalam aspek pencegahan kebakaran, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah melaksanakan ’ Info On Wheels (IOW)’ di tiga lokasi iaitu Kampung Berundong, Kampung Bambangan dan Kampung Beringgis," katanya.

Katanya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dianggotai pelbagai agensi dan jabatan telah diaktifkan dan beroperasi 24 jam di Aras 1, Bangunan Urus Setia Daerah Papar serta boleh dihubungi di talian 088-914999.

TETITIA YUSOFF