fb fb fb fb fb

15,000 anak peneroka Felda masuk tahun 1 terima bantuan sekolah

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

GUA MUSANG, 7 Februari- Seramai 15,000 murid tahun 1 yang merupakan anak peneroka Felda di seluruh negara akan menerima bantuan kelengkapan sekolah secara berfasa sumbangan FGV Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM2.25 juta.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program bantuan komuniti itu dijalankan dengan tujuan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

"Peruntukan kali ini meningkat berbanding sebelum ini (2024) iaitu sebanyak RM2.17 juta yang diberikan kepada 14,500 pelajar sahaja.

"Jadi untuk tahun ini seramai 15,000 pelajar akan menerima manfaat ini. Kerjasama ini merupakan kali kedua bersama-sama dengan FGV selepas kejayaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Selamat Datang ke Sekolah 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman di Felda Perasu di sini.

Penyerahan kelengkapan persekolahan itu turut membabitkan beberapa tanah rancangan lain seperti di Felda Wilayah Trolak (Perak), Felda Wilayah Jengka (Pahang), Felda Wilayah Mempaga (Pahang) dan Gugusan Felda Raja Alias (Negeri Sembilan) yang akan diadakan secara berfasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI