fb fb fb fb fb

141 pelajar orang asli cemerlang SPM, STPM 2023 dirai

Foto FB Menteri

BANGI, 20 Ogos- 141 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 diraikan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA.)

Daripada jumlah itu, seramai 104 pelajar adalah lepasan SPM yang memperolehi 5'A' ke atas manakala 37 lagi adalah lepasan STPM yang memperolehi PNGK 2.80 ke atas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata tahun 2023 merekodkan peningkatan jumlah pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam SPM dan STPM berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pada SPM dan STPM 2022, 124 pelajar Orang Asli sahaja berjaya meraih keputusan yang cemerlang.

"Ini merupakan satu pencapaian bagi Jakoa lah khasnya dalam memastikan sistem pendidikan Orang Asli dalam keadaan yang terbaik. Pencapaian SPM ini amat-amat baik sekali tahun ini. Daripada sudut keputusan STPM pun sama. Amat- amat memuaskan."

"Kalau tahun lepas, 300 orang untuk kemasukan ke universiti, IPTA tempatan ataupun swasta ataupun ke luar negara. Tetapi tahun ini, saya rasa jumlah ini akan meningkat," kata Datuk Rubiah kepada pemberita, hari ini.

Datuk Rubiah menyatakannya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA SPM & STPM 2023 di Bangi, Selangor.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM