KUALA LUMPUR, 24 Mei- 14 agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bergabung menjayakan Pavilion Al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 di ibu negara.
Majlis perasmian serta pelancaran 22 buku baharu terbitan agensi terlibat akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pada pada 27 Mei pukul 11.00 pagi, di Pentas Utama PBAKL.
Program yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) merupakan usaha memperkasa budaya membaca dan kefahaman terhadap peranan agensi bawah jabatan itu.
Selain itu, Pavilion Al-Falah turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang pesta berlangsung termasuk sesi bicara penulisan, resensi buku, sesi bersama penulis, forum ilmiah dan pameran dari agensi-agensi Hal Ehwal Agama.
Inisiatif berkenaan selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan syiar Islam melalui pembudayaan amalan membaca.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan Pavilion Al-Falah PBAKL 2025 yang berlangsung setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 10.00 malam.