
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Seramai 138 wanita pelbagai kaum menyertai bengkel pembuatan kuih angku sambil mengenakan kebaya dalam satu program warisan budaya yang berlangsung di ibu kota hari ini.
- 138 wanita pelbagai kaum sertai bengkel pembuatan kuih angku sambil memakai kebaya, mencipta rekod Malaysia Book of Records.
- Program menonjolkan peranan sektor swasta dalam memperkasa warisan budaya sebagai pemacu ekonomi kreatif dan pelancongan.
- Acara mempromosi kebaya dan kuih angku sebagai tarikan budaya dan gastronomi, menarik minat pelancong antarabangsa.
Program “Most Participants Wearing Kebaya In An Angku Kuih-Making Workshop” itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Menurutnya, program berkenaan mencerminkan peranan sektor swasta dalam menyokong agenda kerajaan untuk memperkasa warisan budaya sebagai pemacu ekonomi kreatif negara.
“Program ini memang sangat signifikan dengan kempen tahun Melawat Malaysia 2026 kerana ia merupakan salah satu produk pelancongan yang ada dalam negara iaitu kebudayaan dan gastronomi.
“Pelancong boleh melihat budaya yang ada dalam negara, salah satunya pakaian kebaya. Dalam masa sama, mereka boleh merasai pelbagai jenis makanan seperti kuih angku yang dipopularkan oleh masyarakat peranakan,” katanya dalam sidang media program berkenaan.
Menurutnya, pemakaian kebaya itu dianggap sebagai lambang identiti dan warisan Nusantara, manakala kuih angku diketengahkan sebagai antara sajian tradisi masyarakat peranakan yang menjadi tarikan gastronomi tempatan.
Program ini turut mendapat perhatian pelancong dari Britain.
“Saya gembira menikmati pengalaman ini kerana dapat mempelajari banyak perkara tentang budaya Nyonya dan berpeluang memakai kebaya.
“Saya juga seronok dapat mencuba membuat makanan ‘pencuci mulut’ kerana sebelum ini saya tidak pernah menyediakan hidangan manisan dalam budaya Nyonya.
“Ia benar-benar memberikan pengalaman yang sangat bermakna. Melihat semua orang mengenakan busana yang cantik juga menjadikan suasana lebih meriah dan menyeronokkan,” katanya.