JOHOR BAHRU, 4 Jun- Kerajaan Johor mengenal pasti 12 lokasi panas, yang menyumbang kepada pencemaran sisa domestik di Sungai Skudai, di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan agensi terlibat akan memasang Log Boom atau perangkap sampah, di kesemua lokasi terbabit menjelang September ini, bagi mengurangkan tahap pencemaran.
Usaha pembersihan akan melibatkan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sepanjang sungai itu.
Lokasi pencemaran yang dikesan ialah di Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu, Kampung Bakar Batu, dan Pusat Informasi Sungai Skudai.
Selain, Pangsapuri Melana Indah, Taman Damai Jaya, Kampung Laut, Kampung Pertanian, dan Kampung Melayu Sengkang.
"Usaha meletakkan Log Boom di kesemua 12 lokasi ini dan pada masa sama, kita minta ada penyelenggaraan dibuat, setiap hari.
"Semestinya ia satu tugas yang besar, tetapi saya percaya, kalau semua pihak bekerjasama, sungai-sungai kita di Johor dapat kita bersihkan bermula dengan Sungai Skudai," kata Onn Hafiz.
(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)
Beliau berkata demikian semasa menyertai Program Johor Bersih@ Sungai Skudai, Kampung Bakar Batu, yang disertai kakitangan Majlis Bandaraya Johor Bahru, bersama ratusan peserta daripada pelbagai agensi di Johor.
Kerja pembersihan akan tertumpu di sungai itu pada tahun ini, sebelum diteruskan ke Sungai Kim Kim dan Sungai Tebrau pada tahun seterusnya.
Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Tebrau, antara sungai dibelenggu masalah sisa domestik, dalam negara.