PADANG NYIRU, 4 Jun- Melaka memohon peruntukan kira-kira RM20 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bagi penambahbaikan fasiliti pelancongan negeri itu.
Exco Pelancongan, Warisan , Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ia bertujuan menyelesaikan baki 30% persiapan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Antara penambahbaikan yang akan dilakukan termasuklah memasang lampu di lorong-lorong sekitar Jalan Jonker selain memasang papan tanda di kawasan itu.
"Kita mencadangkan kawasan-kawasan lorong belakang ini ditambah baik baik menarik minat pengunjung termasuk pelancong yang hadir ke Melaka.
"Seperti yang kita lihat di Jonker Walk, kawasan ini agak aktif pada hujung minggu dan berjaya menarik pelancong. Jadi ini mungkin boleh dilakukan di supaya aktiviti-aktiviti lain juga boleh dilakukan di kawasan lain di Melaka," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja produk pelancongan di Bandaraya Melaka.
Usaha yang dilakukan itu bagi menambah keceriaan dan memberi keselesaan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri bersejarah berkenaan.
Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Zaidi Attan dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong
Mengulas lanjut, Abdul Razak yakin semua usaha penambahbaikan itu dapat dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
(Abdul Razak Abdul Rahman)