
LANGKAWI, 21 Januari – Seramai 103 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, di sini berpeluang mempelajari dunia komunikasi dan media melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman interaktif, kreatif dan menyeronokkan.
- Murid SK Pulau Tuba belajar kemahiran komunikasi praktikal melalui aktiviti interaktif seperti pembaca berita cilik, DJ cilik dan wartawan junior.
- Program PR Cilik tingkatkan keyakinan diri, kreativiti dan pemikiran kritikal murid menerusi permainan komunikasi dan kerjasama.
- Inisiatif mahasiswa UiTM hubungkan ilmu universiti dengan komuniti, sejajar SDG 4 dan memupuk kepimpinan serta kerja berpasukan.
Pengarah Program PR Cilik Wan Safiah Abdullah Sani berkata, program itu dirangka pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM Shah Alam sebagai usaha menghubungkan ilmu universiti dengan keperluan komuniti sebenar.
“Objektif program PR CILIK yang dibuat di SK Pulau Tuba ada tiga, pertama kami ingin meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk mereka berani berbicara di khalayak ramai.
“Kedua kami juga ingin memberi kesedaran medialiterasi sejak dibangku sekolah lagi. Dan ketiga kami ingin memperkenalkan fakulti kami sendiri iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR Cilik di SK Pulau Tuba, di sini.
Program bertemakan ‘Suara Kecil, Impak Besar’ itu dianjurkan melalui agensi pelajar, PRhythm Agency sebagai usaha memperkasa literasi komunikasi dalam kalangan murid luar bandar.
Pelbagai aktiviti praktikal dilakukan termasuk pembaca berita cilik, DJ cilik, wartawan junior, serta permainan berasaskan komunikasi dan kerjasama seperti Menara Pintar, Radio Rosak dan Lompat, Pusing, Fokus! yang dirangka khusus untuk meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan, kreativiti serta pemikiran kritikal murid.
Inisiatif itu bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya satu platform pembelajaran bermakna yang memberi ruang kepada murid untuk berani mencuba dan mengekspresikan idea mereka.
Selain memberi manfaat kepada komuniti Pulau Tuba, program berkenaan turut menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu perhubungan awam, pengurusan acara dan komunikasi strategik dalam situasi sebenar, di samping membina kemahiran kepimpinan, empati dan kerja berpasukan.
Penganjuran PR Cilik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan memperluas akses pembelajaran tidak formal kepada komuniti yang mempunyai pendedahan terhad terhadap dunia komunikasi dan media.
Dengan sambutan positif daripada pihak sekolah dan komuniti setempat, PR Cilik membuktikan bahawa pendidikan komunikasi boleh disampaikan secara kreatif dan inklusif, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan komuniti dan pembelajaran abad ke-21.