KOTA BHARU, 4 Disember- Sebanyak 102 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan bermula 23 November lalu hingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata jumlah itu membabitkan lima penyakit berjangkit iaitu jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, acute gastroenteritis (AGE), konjunktivitis dan demam.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 68 membabitkan ARI, 27 kes penyakit kulit, demam (5) dan masing-masing satu kes bagi AGE dan konjunktivitis.
"Pihak kami telah membuka klinik-klinik di PPS dan mengerahkan anggota terlibat untuk sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan serta pencegahan supaya penyakit berjangkit akibat bencana banjir dapat dibendung.
"Masyarakat dinasihat tidak bermain atau meredah banjir.
"Mereka juga dinasihat tidak mengambil makanan dan minuman yang tercemar, selain menjaga kebersihan di PPS," katanya pada sidang media selepas menyerahkan 30 unit kamera badan bagi kegunaan Unit Inspektorat dan Perundangan Daerah di negeri Kelantan.
Katanya, dengan adanya kamera tersebut, ia mampu memelihara integriti dan meningkatkan imej penguat kuasa, selain mengatasi isu ancaman serta halangan terhadap anggota penguat kuasa.