fb fb fb fb fb

100,000 lagi tenaga kerja asing diperlukan

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 27 Jun- Lebih 400,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi pekerjaan di lima sektor utama yang kritikal.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mereka dibawa masuk menerusi dua dasar iaitu kelonggaran bagi kelulusan pekerja asing dan program rekalibrasi awal.

"Bagi kedua-dua polisi ini kita telah berjaya membawa masuk pekerja sehingga sekarang ini angkanya adalah sekitar 400,000 bagi kelima-lima sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian. Bermaksud kita perlu mengisi sekitar 100,000 lagi tenaga kerja," kata Saifuddin dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini.

Menurutnya, jika dilihat daripada jumlah kuota diluluskan dan rekalibrasi yang sudah daftar,beliau yakin keperluan tenaga kerja ini boleh dipenuhi selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini.

Terdahulu, Kementerian Sumber Manusia meluluskan kuota pekerja asing seramai 1.136 juta pekerja setakat bulan ini bagi semua sektor.

Manakala program Rekalibrasi 2.0 yang dilaksana KDN melibatkan 680,000 pekerja dan menjadikan jumlah keseluruhan pekerja asing seramai 1.8 juta orang.

(Datuk Seri Saifuddin semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara
Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing)

Media Baharu