fb fb fb fb fb

10 ibu negara ASEAN setuju tubuh sekretariat, kukuh kerjasama serantau

Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - 10 ibu negara ASEAN bersetuju untuk menubuhkan sebuah sekretariat di Jakarta bagi memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan Visi ASEAN 2045 dengan lebih berkesan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025 Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, perbincangan dan persetujuan akan diikuti dengan tindakan susulan bersama sekretariat.

"Seperti yang dapat dilihat, kenyataan bersama ini berorientasikan tindakan. Kita mengambil isu pengurusan sisa, perubahan iklim dan perumahan.

"Jadi, selepas ini bersama Sekretariat, ia bukan sahaja berakhir di sini, tetapi hari ini kita akan membincangkan tindakan apa yang ingin diambil. Sebagai contoh, saya boleh katakan bahawa semua bandar berdepan cabaran dalam pengurusan sisa.

"Mungkin satu lagi keutamaan dalam pengurusan sisa ialah projek sifar sisa dan sebagainya. Jadi, inilah yang saya maksudkan dengan rangkaian, rangka kerja, dan platform untuk kita bekerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena dengan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) di ibu negara.

Mesyuarat tersebut turut bersetuju menyokong matlamat pembangunan global dan memperkasa pelaksanaan agenda perbandaran baharu.

Agenda lain yang turut dipersetujui termasuk, memperkukuh kerjasama antara bandar utama, memacu keutamaan tempatan bawah Visi ASEAN 2045.

Selain itu mesyuarat juga bersetuju untuk mempergiat pelaksanaan matlamat iklim serta menarik pelaburan antarabangsa bagi menyokong projek pembangunan tempatan.

Mesyuarat turut disertai wakil Dili, Timor Leste Godinho Domingos, selaku pemerhati.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI