fb fb fb fb fb

1,500 ternakan korban di seluruh masjid, surau di Melaka


BUKIT PALAH, 23 Jun - 
Lebih 1,500 ternakan dijangka akan dikorbankan di Melaka sempena Hari Raya Aidiladha.

Antaranya membabitkan lembu, kambing dan kerbau.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata ia melibatkan lebih 200 masjid dan 800 surau di negeri itu.

"Ada juga yang tidak lapor kepada kita ini kita ambil daripada data masjid dan surau, yang persendirian itu ada dan jumlah yang ada ini pun akan bertambah masing-masing sedang membuat pengumpulan nama-nama individu yang hendak buat korban. Maka saya yakin jumlah itu akan lebih 1500 ekor," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada pelancaran Minggu Dakwah Peringkat Negeri di Bukit Palah, Melaka.


(Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka , Datuk Rahmad Mariman)

Rahmad turut memaklumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan menyumbangkan 24 ekor lembu khusus untuk 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan ibadah korban, selain sumbangan daripada individu persendirian.

Dalam perkembangan lain, Rahmad memaklumkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan beberapa saki baki pengikut kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk' yang kini dipercayai berada di New Zealand.

Pihaknya yakin polis mampu mengesan pengikut ajaran berkenaan yang berjaya meloloskan diri ke negara terbabit sebelum operasi pihak berkuasa agama negeri dijalankan beberapa minggu lalu.

"Kita sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan dan sudah pasti pihak berkuasa berkenaan mengambil tindakan segera mengenainya," katanya.

Minggu lalu, hasrat seorang lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau 'Si Hulk' untuk bergabung dengan pengasasnya di New Zealand, tidak kesampaian apabila ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di rumahnya dekat Jasin.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anaknya kira-kira jam 8.30 malam Ahad minggu lalu.

Pada 30 Mei lalu, Majlis Fatwa Melaka telah mengeluarkan kenyataan bahawa fahaman Suhaini Bin Mohamad adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.


Media Baharu