MEKAH, 23 Jun - Arab Saudi secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk mengadakan Simposium Perdana Haji di peringkat rantau Asia Tenggara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah telah memberikan respons positif dan sedia bekerjasama berhubung perkara itu.
"Saya sudah maklumkan kepada beliau menerusi 'WhatsApp' cadangan saya untuk membawa simposium ini ke Malaysia dan pada dasarnya beliau bersetuju dan akan memberikan kerjasama sekiranya Malaysia berhasrat mengadakan simposium di peringkat rantau Asia Tenggara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kebersihan Masyair, di sini.
Tambah Dr Mohd Na'im, perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut termasuk dengan pihak Tabung Haji (TH) dalam merealisasikan penganjuran simposium berkenaan.
Simposium Perdana Haji yang dianjurkan secara tahunan di Arab Saudi menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam semua aspek ibadat haji.