fb fb fb fb fb

1,000 sekolah bakal terima rangkaian 5G

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam
sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh)


KOTA BHARU, 16 Julai- Sebanyak 1,000 sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar akan menerima rangkaian 5G sekali gus memudahkan proses pengurusan dan pembelajaran menjelang akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu persetujuan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera melaksanakan inisiatif tersebut.

Jelas beliau, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sudah berunding denga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengendali rangkaian serta Digital Nasional Bhd (DNB) yang bersetuju memberikan komitmen untuk menjayakan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk memilih enam sekolah sebagai percubaan bagi menguji sama ada rangkaian 5G sesuai atau tidak untuk dilancarkan di institusi berkenaan.

"Kita akan pastikan bukan sahaja dalam kawasan sekolah, malah penempatan di sekitar sekolah juga mendapat manfaat sama menerusi pelaksanaan rangkaian internet terbabit.

"Bagi merealisasikan rancangan ini, syarat pertama ialah perlu ada kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) kerana pihaknya bertanggungjawab membuat penyambungan gentian optik," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh, di sini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pemilihan sekolah terlibat adalah bergantung sepenuhnya kepada cadangan KPM samada di bandar mahupun luar bandar.

(Sebanyak 1,000 sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar akan menerima rangkaian 5G
sekali gus memudahkan proses pengurusan dan pembelajaran menjelang akhir tahun ini/BERNAMA)


"Segala perancangan ini hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan KPM kerana sekolah yang ada di seluruh negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian terbabit, manakala K-KOMM membantu daripada segi pembangunan komunikasi," katanya.

Menurutnya, rangkaian 5G yang diwujudkan di sekolah akan dapat membantu bukan sahaja pihak pengurusan melalui proses pembelajaran lebih baik sejajar dengan kemajuan teknologi semasa bahkan pengguna di kawasan sekitarĀ  turut sama akan menikmati kemudahan yang di sediakan.

Media Baharu