KEMAMAN, 21 Januari- Seramai 1,000 orang daripada golongan memerlukan serta penduduk terjejas banjir di Terengganu menerima sumbangan Ihsan MADANI hari ini.
Sumbangan keseluruhan berjumlah RM120,000 itu disampaikan oleh Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Fikri Abdul Aziz yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penerima bantuan, Zarudin Ismail meluahkan rasa syukur kerana bantuan tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarga mereka
"Alhamdulillah, sangat membantu. Saya ada tiga anak sekolah, jadi sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sebagai keluarga berpendapatan B40. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak," katanya.
Seorang lagi penerima, Daud Deraman, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, "Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang diberikan kepada rakyat. Kami benar-benar merasai manfaatnya," katanya.
Yong Kim San turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang dianggap sangat membantu dalam membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Sumbangan Ihsan MADANI di daerah Kemaman itu disampaikan dalam majlis yang diadakan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Kompleks Rakan Muda Daerah Kemaman di sini hari ini.
Terengganu merupakan negeri keempat dalam Jelajah Ihsan MADANI selepas kawasan utara.
Selain wang tunai, penerima turut menerima bantuan barangan dapur yang disalurkan dengan kerjasama Persatuan Amal Ikatan Setia Kasih Terengganu.